Monday, January 17, 2011

Sultan Kedah Meminta Rakyat Kedah Sentiasa Berwaspada.


ALOR SETAR 16 Jan. - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah meminta rakyat negeri ini agar sentiasa berwaspada dan menolak percubaan pihak tertentu untuk melibatkan baginda dalam apa-apa isu yang berbangkit.

Tuanku Abdul Halim bertitah, peristiwa seperti itu telah berlaku di beberapa tempat lain sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan rakyat.

"Seluruh rakyat diingatkan agar terus memelihara suasana aman damai yang membolehkan kita semua menumpukan usaha untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing tanpa berasa bimbang dengan ancaman atau gangguan ke atas keselamatan kita," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis istiadat menyembah tahniah dan pengurniaan darjah-darjah serta bintang-bintang kebesaran di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Pada majlis tersebut baginda berkenan untuk mengurniakan pingat dan darjah kebesaran kepada 83 penerima.

Sultan Kedah bertitah, peristiwa yang berlaku di negara lain hendaklah dijadikan iktibar dan pengajaran oleh rakyat untuk sentiasa memelihara keamanan.

"Beta bersyukur dengan suasana keamanan dan keharmonian antara kaum yang dinikmati di negeri ini.

"Beta yakin ikatan perpaduan yang erat dan kukuh di kalangan penduduk berbilang kaum masa kini dapat menjadi benteng untuk memelihara keamanan," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, baginda ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan bagi menjayakan perancangan pembangunan sosioekonomi di negeri ini.

"Khasnya kepada Perdana Menteri yang tidak melupai negeri Kedah dalam agenda pembangunan negara.

"Beta juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak seperti pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan, anggota pasukan keselamatan yang membantu semasa banjir besar melanda Kedah pada November lalu," titah baginda.

0 comments:

Mantan Perdana Menteri Malaysia

Mantan Perdana Menteri Malaysia

Anda mencari PEKRJAAN.....?

back to top