Friday, December 17, 2010

Parlimen Catat Sejarah Hitam Dek Kelakuan Hodoh Pembangkang.

Kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini yang dicetuskan ahli parlimen pembangkang disifatkan sebagai satu sejarah hitam parlimen yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Ahli Parlimen Rembau yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin ketika menjelaskan isu kekecohan tersebut berkata pembangkang sebenarnya sengaja menimbulkan kekacauan untuk menggambarkan kononnya ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianiaya dan tidak diberi peluang untuk mempertahankan dirinya.
“Kami di pihak Barisan Nasional (BN) sudah sedia untuk bahas usul ini kerana kita percaya kedua-dua usul iaitu usul untuk gantung Datuk Seri Anwar dan gantung YB Sivarasa (Subang), YB Azmin (Gombak) dan YB Karpal Singh (Bukit Gelugor) perlu dibahas untuk memberi ruang kedua-dua pihak untuk mengutarakan dan mengenengahkan hujah masing-masing. 
“Namun apabila usul dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, pembangkang tidak membenarkan, tidak mewujudkan  persekitaran di mana usul itu boleh dibahas. Itulah hakikat sebenar,” katanya kepada UMNO-Online di Lobi Parlimen di sini, hari ini.
Selaku ahli parlimen pertama untuk membahaskan usul tersebut, beliau berkata sudah bersedia dengan pelbagai fakta namun tidak dapat meneruskan perbahasan kerana ahli parlimen pembangkang membuat kecoh dan menjerit-jerit seolah-olah tidak mahu meneruskan perbahasan.
“Kita mahu supaya hujah-hujah dari pihak BN dan pembangkang dikemukakan dalam dewan supaya boleh diperdebatkan… jadi soal perkara ini dilulus tanpa dibahas seolah-olah sudah dirancang adalah tidak benar,” ujarnya.
Justeru beliau menegaskan persoalan pokok bukanlah Anwar dianiaya tetapi keengganan Anwar sendiri untuk menggunakan ruang yang diberikan untuk mempertahankan dirinya.

“Soal pokok yang sebenarnya yang kita lupa beliau (Anwar) diberi peluang untuk menjelaskan dan memberi keterangan tentang apa yang disebut pada 17 Mac tahun lepas iaitu Apco telah memberi nasihat kepada perdana menteri untuk memperkenalkan konsep Satu Malaysia yang sama dengan konsep One Israel.
Mengenai usul kedua untuk menggantung Ahli Parlimen Subang, Gombak dan Bukit Gelugor kerana menghina Dewan Rakyat pula beliau berkata perbahasan usul tersebut tetap diteruskan walaupun ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan.
“Kalau sekiranya kita tidak mahu bahas dan hanya mahu teruskan perkara ini dan ‘rubber stamp’ usul yang dibentangkan Nazri Aziz sudah pasti bila pembangkang dah keluar dewan kita lulus saja usul kedua usul tersebut tapi kita masih lagi debat isu itu walaupun pembangkang tiada.

“Ini menunjukkan dah sedia dengan fakta kita untuk berhujah,“ ujarnya. Sementara itu berhubung tindakan pembangkang yang bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi anggota Parlimen pembangkang digantung selama enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat pula Khairy berkata pembangkang bebas untuk berbuat demikian. 
Ehsan dari - MediaUMNO.

0 comments:

Mantan Perdana Menteri Malaysia

Mantan Perdana Menteri Malaysia

Anda mencari PEKRJAAN.....?

back to top